Program Lawatan Sinergi Kepimpinan Desa (KKDW)

Tarikh: 25/07/2025 - 27/07/2025
Tempat: Pulau Langkawi
LANGKAWI, 27 Julai 2025 – Program Lawatan Sinergi Kepimpinan Desa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Siri 3/2025 telah berjaya dilaksanakan bermula 25 hingga 27 Julai 2025. Program yang dianjurkan oleh Bahagian Komuniti Desa (BKD), KKDW ini berlangsung di dua lokasi utama iaitu Hotel Langkasuka Langkawi bagi sesi ceramah dan Kampung Sungai Itau bagi sesi lawatan lapangan.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara barisan kepimpinan desa dan pihak berkepentingan demi mencapai matlamat pembangunan desa yang lebih mampan. Ia juga menjadi platform interaktif untuk pemimpin dan komuniti berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam mentadbir urus pembangunan komuniti desa.

KEMAS Negeri Kedah telah dilantik sebagai Urus Setia bagi menjayakan keseluruhan pelaksanaan program yang disertai oleh 38 orang peserta dari Negeri Perlis. Para peserta terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) mewakili lima buah kampung iaitu Kampung Pida 3 Semut Gatal, Kampung Padang Asam, Kampung Tengah, Kampung Wai dan Kampung Kurung Tengar.

Hari pertama program menyaksikan sesi taklimat bertajuk Peranan dan Tanggungjawab JPKKP dalam Pembangunan Komuniti yang telah disampaikan oleh Encik Ahmad Syah Ejaz bin Ismail, Ketua Penolong Setiausaha Komuniti Desa, Unit JPKKP, Bahagian Komuniti Desa, KKDW. Dalam taklimat ini, beliau menekankan peranan penting JPKKP sebagai jentera akar umbi kerajaan dalam menyelaras, merancang serta melaksanakan program pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk kampung. Peserta turut diberikan penjelasan mengenai struktur organisasi JPKKP, skop tanggungjawab yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan fizikal, serta kepentingan integriti dan kepimpinan berwibawa dalam menggerakkan pembangunan komuniti yang inklusif. Selain itu, aspek hubungan strategik antara JPKKP dan agensi kerajaan lain turut diketengahkan sebagai salah satu elemen kejayaan dalam memacu pembangunan desa secara kolaboratif dan berkesan.

Pada hari kedua, peserta dibawa melawat ke Kampung Sungai Itau, Langkawi dan disambut di Dewan Anjung Lestari milik Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad. Dalam sesi lawatan tersebut, peserta didedahkan kepada faktor kejayaan Kampung Sungai Itau yang telah dinobatkan sebagai johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI (ADM) peringkat Negeri Kedah tahun 2024. KKDW berharap agar kejayaan ini dapat dijadikan model rujukan oleh barisan JPKKP dari Negeri Perlis.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Taklimat Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang disampaikan oleh Encik Mohd Fairuz bin Md Jani, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat, KKDW. Dalam sesi ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai inisiatif di bawah skim SPKR yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat luar bandar melalui pendekatan pembangunan sosioekonomi yang holistik. Turut dibincangkan ialah garis panduan pelaksanaan projek, impak program kepada komuniti setempat serta peranan JPKKP dalam mengenal pasti golongan sasar yang memerlukan intervensi segera.

Hari ketiga menyaksikan sesi Taklimat Penyediaan Pelan Tindakan Kemajuan Kampung (PTKK) yang disampaikan oleh Encik Mohd Ridhuan bin Husain, Penolong Arkitek Landskap dari Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA). Sesi ini memberi fokus kepada proses penyediaan pelan pembangunan kampung yang lebih sistematik, terancang dan berpaksikan potensi serta keperluan setempat. Antara intipati yang diketengahkan termasuklah kaedah pengumpulan data lapangan, penentuan fokus pembangunan, pembentukan jawatankuasa teknikal kampung serta penggunaan pelan tindakan sebagai dokumen rujukan rasmi dalam merancang pembangunan desa yang mapan dan lestari.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Puan Norashikin binti Mohamed Nawawi, Ketua Penolong Setiausaha Komuniti Desa, Unit Dasar Komuniti Luar Bandar. Turut hadir memeriahkan dan menyumbang kepakaran sepanjang program ini ialah Puan Tijah binti Hasan, Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Negeri Perlis dan Encik Mohamad Suhaizal bin Saim, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Kemahiran KEMAS Negeri Kedah.

Program ini bukan sahaja memperkukuh semangat sinergi antara negeri, malah menjadi medan percambahan idea dan strategi dalam mentransformasikan komuniti desa ke arah yang lebih progresif, berdaya saing dan inklusif sejajar dengan aspirasi pembangunan desa MADANI.

Facebook Kemas Kedah